Wednesday, February 11, 2009

HUKUM ISLAM KERAS?

Soalan; Bagaimana kita hendak memberi jawapan kepada orang yang berkata; “Hukuman Islam ke atas penzina, peminum arak, orang yang mencuri dan sebagainya terlalu keras, tidak sesuai dilaksanakan di dalam negara moden hari ini?

Jawapan;Persoalan ini dijawab oleh Dr. Ahmad Syauqi al-Fanjari dalam bukunya Kaifa Nahkum Bil-Islam Fi Daulah ‘Asriyyah (Bagaimana kita hendak memerintah dengan Islam dalam negara moden?). Beliau menjelaskan;“Hukuman-hukuman fizikal yang dibawa oleh Islam di anggap oleh dunia moden hari ini sebagai keras.

Untuk menjawab tuduhan ini kita menyatakan; Ya, sememangnya ia keras jika dilaksanakan dalam masyarakat seperti Barat/Eropah hari ini. Namun ia tidak keras jika dilaksanakan di dalam masyarakat Islam.

Kenapa? Kerana di dalam masyarakat Barat/Eropah, mereka memberi kebenaran kepada segala unsur yang merosakkan dan menyeleweng. Arak, pelacuran, penzinaan dan perkara-perkara yang mendorong seks dibenarkan dengan sokongan undang-undang sendiri. Apabila ada dari mereka yang mabuk dan hilang akal dan bertindak liar membunuh atau mencuri, tiba-tiba mereka ditangkap dan dipenjara. Tidakkah itu memperlihatkan pertentangan yang pelik.Masuk akalkah, kamu menjual kepada orang ramai arak dan menggalakkan mereka meminumnya, kemudian kamu menghukum mereka apabila mereka mabuk disebabkan arak itu. Atau kamu membuka kepada orang ramai pintu-pintu kepada kerosakan dan perkara-perkara yang mendorong mereka kepada seks, kemudian kamu menghukum mereka apabila mereka keluar merogol/memperkosa anak-anak gadis di jalanan. Atau kamu mengemukakan kepada orang ramai filem-filem ganas yang memuja menonjolkan aksi mencuri, rompakan bank dan sebagainya, kemudian kamu menghukum mereka apabila mereka meniru aksi-aksi dalam filem tersebut.

Segala faktor penyelewengan di atas tidak akan ditemui dalam masyarakat Islam (yang sebenar) yang hidup dalam naungan sebuah negara Islam. Oleh itu, tidak ada alasan untuk sesiapapun melakukan penyelewengan selepas itu. Dan hukuman yang ditetapkan juga semestinya memberi ancaman dan bersifat tegas (kerana ia penting untuk menjaga masyarakat yang bersih itu dari diserapi penyelewengan dan kerosakan).Selain itu –di sebalik hukuman yang keras itu- Islam amat teliti dan berhati-hati dalam melaksanakan hukuman-hukuman yang hendak dijalankan.
Setiap hukuman mempunyai syarat-syarat yang jika tidak berjaya dipenuhi nescaya had/hudud tidak mungkin akan dijalankan.

Syarat pertama ialah tidak ada sebarang keraguan dalam mensabitkan berlakunya jenayah. Sedikit sahaja keraguan yang wujud akan menolak hukuman had dari tertuduh. Jika ada seseorang menuduh orang lain tanda bukti dan saksi, dia berkemungkinan dikenakan hukuman had Qazaf sekalipun ia adalah pemerintah sendiri.Hukuman potong tangan ke atas pencuri digugurkan jika barang yang dicuri nilainya kurang dari kadar minima yang ditetapkan Syarak atau pencuri mencuri kerana lapar atau ia mencuri kerana suatu keperluan atau ia adalah khadam bagi satu golongan dan mereka tidak memberi hak yang sewajarnya kepadanya.

Hukuman had ke atas penzina tidak akan dilaksanakan kecuali para saksi bersumpah bahawa mereka melihat perlakuan zina itu sebagaimana batang celak dilihat masuk ke dalam bekas celak. Ia suatu yang mustahil dari segi realitinya. Jika terbukti bahawa para saksi itu masuk ke dalam rumah secara sembunyi (yakni bukan melalui pintu) atau melakukan intipan, maka batallah kesaksian mereka.Islam dalam sistem hukumannya sekali-kali tidak bertujuan membalas dendam. Islam lebih mementingkan taubat dari orang yang melakukan dosa dari menghukumnya.

Oleh demikian, dalam hukum Islam seorang yang melakukan dosa jika ia menyedari kesalahannya dan bertaubat sebelum ditangkap oleh pemerintah, akan gugur darinya hukuman had. Ini berdasarkan firman Allah;

“Kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum kamu dapat menangkapnya, (mereka terlepas dari hukuman itu). Maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (al-Maidah: 34)

Ayat ini menjadi dalil terhadap kerahmatan dalam perlaksanaan hukuman hudud dan roh Islam untuk memperbaiki, bukan untuk membalas dendam.Begitu juga, dalam hukum Islam, seorang yang mengingkari tuduhan zina yang dikenakan ke atasnya, ia tidak boleh dikenakan hukuman had kecuali disabitkan dengan empat orang saksi. Jika seorang lelaki mengaku melakukan zina dengan seorang wanita, namun wanita itu tidak mengakuinya, maka hukuman had hanya dijalankan ke atas lelaki dan tidak dijalankan ke atas wanita kerana yang dijadikan perkiraan ialah pengakuan dengan rela hati, bukan dengan paksaan.

Dalam hukum Islam juga, hukuman dijalankan secara terang-terangan iaitu dihadiri oleh bilangan ramai dari kaum muslimin. Ini berdasarkan ayat Allah;

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang Yang beriman”. (an-Nur: 2)

Tujuannnya ialah untuk memberi pengajaran dan peringatan kepada orang ramai dan mencegah dari berulangnya kejadian dan peristiwa penyelewengan dalam masyarakat.Kesimpulannya, hukuman atau hudud yang ditetapkan oleh Islam jika dilaksanakan di dalam suasana dan biah yang Islamik dan dengan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, tidak akan kelihatan padanya sebarang bentuk penzaliman atau penderaan, malah ia merupakan pembalasan yang adil yang tidak dapat dielakkan terhadap orang yang masih menyeleweng setelah Islam memberinya segala bentuk jaminan untuk menjalani kehidupan yang mulia dan lurus.Cukup sebagai bukti (keberkesanan hukuman Islam itu) di mana sepanjang ia dilaksanakan pada zaman Rasulullah s.a.w., bagi hukuman potong tangan ke atas pencuri, hanya satu kes sahaja yang berlaku.

Begitu juga, pada zaman Khulafa’ Rasyidin, hanya beberapa kes sahaja berlaku yang boleh dibilang dengan jari. Ini menunjukkan bahawa hukuman Islam jika dilaksanakan dalam suasana/biah yang Islamik, nescaya tidak akan banyak kes jenayah yang berlaku yang memerlukan kita untuk melaksanakan hukuman ke atasnya.Sebagai bandingan, kita kemukakan di sini sejarah tatkala Soviet Union memutuskan satu ketetapan untuk mengenakan hukuman bunuh ke atas perasuah. Semasa Presiden Amerika Syarikat bertemu dengan Presiden Soviet Union, ia berkata kepadanya; “Hukuman yang keras tersebut menunjukkan bahawa nyawa manusia tiada nilai di sisi kamu”. Presiden Soviet menjawab; “Memang benar ia hukuman yang keras, namun sejak kami menguat-kuasakan hukuman tersebut tidak berlaku satupun kes rasuah dan kami tidak perlu untuk melaksanakannya”

.Rujukan;1. Kaifa Nahkum Bil-Islam Fi Daulah ‘Asriyyah (Bagaimana kita hendak memerintah dengan Islam dalam negara moden?), hlm. 69-72.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

AMALAN ORANG HIDUP UNTUK SIMATI

Soalan: Apakah si mati dapat mengambil manfaat dari amalan orang yang masih hidup untuknya?

Jawapan;Dalam persoalan tersebut ada perkara yang disepakati oleh para ulama’ dan ada perkara yang tidak disepakati (yakni timbul khilaf).

Adapun perkara yang disepakati oleh para ulama’ ialah si mati akan mendapat manfaat dari doa, istighfar, sedekah dan ibadah-ibadah badaniyah-maliyah yang boleh menerima niyabah (gantian) seperti haji dan puasa. Amalan-amalan tersebut telah disepakati oleh para ulamak bahawa ia akan sampai dan akan memberi manfaat kepada si mati di alam barzakh. Dalil-dalil mereka ialah;

1. Firman Allah:“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu"”. (al-Haysr: 10)Ayat di atas menceritakan tentang sikap orang-orang beriman yang datang kemudian selepas generasi sahabat iaitu mereka mendoakan keampunan untuk diri mereka dan juga orang-orang yang sebelum mereka. Ayat tersebut menjadi dalil bahawa memohon keampunan untuk orang yang telah mati akan memberi manfaat untuknya.

2. Doa Nabi s.a.w. kepada Abi Salamah r.a. ketika kematiannya sebagaimana yang diriwayatkan dari Ummu Salamah r.a.:“Rasulullah s.a.w. masuk kepada jenazah Abu Salamah (pada hari kematiannya) dan sesungguhnya matanya terbuka, lalu baginda memejamkannya (yakni baginda menutup kelopak matanya dengan tangan baginda). Kemudian Nabi bersabda: “Sesungguhnya ruh ketika dicabut, diperhatikan oleh mata (yakni ketika ruh ditarik keluar dari badan, mata melihat ke mana ruh pergi)”. Lalu beberapa orang dari keluarganya berpekikan. Maka Nabi bersabda: “Janganlah kamu menyeru kepada mayat-mayat kamu melainkan dengan suatu kebaikan kerana sesungguhnya para malaikat mengaminkan apa yang kamu ucapkan”. Kemudian Nabi s.a.w. berdoa:

اللَّهمَّ اغْفِرْ لأَبِي سَلَمَةَ، وَارْفَعْ دَرَجَتَهُ فِي الْمَهْدِيِّينَ، وَاخْلُفْهُ فِي عَقِبِهِ فِي الْغَابِرِينَ، وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ، وَافْسَحْ لَهُ فِي قَبْرِهِ، وَنَوِّرْ لَهُ فِيهِ
“Ya Allah! Berilah keampunan kepada Abi Salamah. Angkatlah darjatnya di kalangan orang-orang yang diberi petunjuk. Jadilah penggantinya bagi anak-anaknya yang masih tinggal. Kurniakanlah keampunan untuk kami dan untuknya, wahai Tuhan sekelian alam. Lapangkanlah untuknya di dalam kuburnya dan terangilah untuknya di dalam kuburnya”.(Riwayat Imam Muslim)

Hadis di atas menjadi dalil bahawa doa orang hidup akan memberi manfaat kepada si mati sekalipun doa itu bukan datang dari anaknya.

3. Diriwayatkan dari Saidatina Aishah r.a. menceritakan: “Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w.; ‘Sesungguhnya ibuku telah mati. Aku mendapatinya jika sekiranya ia berpeluang bercakap (ketika hampir matinya) nescaya ia akan bersedekah (yakni menyuruh agar dikeluarkan sedekah dari hartanya). Maka apakah baginya pahala jika aku bersedekah bagi pihaknya?’. Jawab baginda s.a.w.; ‘Ya’. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)Hadis di atas menjadi dalil bahawa sedekah orang hidup memberi manfaat untuk si mati.

4. Diceritakan oleh Ibnu ‘Abbas r.a.; “Seorang perempuan datang kepada Nabi s.a.w. lalu berkata; “Sesungguhnya ibuku telah mati dan tertanggung di atasnya puasa sebulan”. Lalu baginda bersabda: “Apa pandangan kamu jika tertanggung di atas bahunya suatu hutang, apakah kamu akan membayarnya?’. Jawab perempuan itu: “Ya”. Jawab Nabi: “Maka hutang Allah lebih berhak dibayar”. (Riwayat Imam Muslim)

5. Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; “Seorang perempuan dari Juhainah datang kepada Nabi s.a.w. dan berkata: ‘Sesungguhnya ibuku telah bernazar untuk menunaikan haji, lalu ia mati sebelum sempat mengerjakannya. Apakah aku boleh mengerjakan untuknya?’. Jawab Nabi; ‘Tunaikanlah haji bagi pihaknya. Bukankah jika ibumu menanggung hutang kamu yang akan membayarnya? Tunaikanlah (hutang dengan Allah) kerana Allah lebih berhak (ditunaikan hutang dengannya)’. (Riwayat Imam Bukhari)

Adapun perkara yang diikhtilafkan di antara para ulama’ apakah ia akan sampai kepada si mati atau tidak ialah ibadah-ibadah yang bersifat badaniyah semata-mata seperti bacaan al-Quran, zikir dan sebagainya. Dalam hal ini terdapat dua pandangan;

Pertama: Pandangan jumhur ulamak yang terdiri dari ulamak-ulamak mazhab Hanafi, Hanbali dan golongan mutaakhirin dari mazhab Syafi’ie dan mazhab Maliki dan juga Imam Ibnu Taimiyyah. Mereka berpandangan; bacaan al-Quran dan zikir yang dibaca oleh orang hidup kepada si mati adalah sampai kepadanya dan memberi manfaat untuknya.

Antara dalil mereka ialah hadis dari Abi Said Al-Khudri r.a yang menceritakan; “Beberapa orang sahabat Nabi telah keluar dalam satu perjalanan. Mereka berhenti di satu kawasan penempatan Arab dan minta jadi tetamu. Namun penduduk kawasan itu enggan untuk menerima mereka sebagai tetamu. Kebetulan ketua bagi penduduk kawasan itu disengat binatang. Mereka telah berusaha mengubatinya dengan pelbagai cara namun tidak berjaya. Lalu beberapa orang di kalangan penduduk itu mencadangkan; ‘Kalau kamu pergi kepada mereka itu (yakni kumpulan sahabat Nabi tadi) mungkin mereka mempunyai sesuatu untuk mengubati ketua kita’. Lalu mereka pergi kepada kumpulan sahabat tadi dan bertanya; ‘Wahai saudara sekelian! Ketua kami disengat binatang. Kami telah berusaha pelbagai cara namun tak berhasil. Adakah di antara kamu yang pandai mengubati?’. Jawab seorang sahabat; ‘Ya, aku boleh menjampi. Akan tetapi kami telah meminta dari kamu semua sebentar tadi untuk menjadi tetamu tetapi kamu sekelian enggan menerima kami. Jadi aku tidak akan menjampinya melainkan jika kamu sanggup memberi sesuatu kepada kami’. Mereka bersetuju untuk memberi hadiah dengan sebahagian daging kambing. Lalu sahabat itu merawati ketua kaum itu dengan menjampinya dengan membaca surah al-Fatihah.

Berkat al-Fatihah itu, ketua kaum itu terus sembuh dan bingkas bangun seperti orang yang terlepas dari ikatan, seolah-olah tidak pernah sakit. Apabila sahabat-sahabat tadi ingin membahagikan daging kambing yang dihadiahkan kepada mereka, berkata sahabat yang menjampi tadi; ‘Jangan kita bahagikan lagi sehingga kita bertanya Nabi terlebih dahulu’. Apabila mereka menceritakan kepada Nabi s.a.w., baginda berkata; “Bagaimana kamu tahu bahawa ia (yakni surah al-Fatihah) adalah jampi?”. Baginda berkata lagi ; “Apa yang kamu lakukan itu adalah betul (sah / halal). Bahagikanlah daging itu dan jadikanlah dalam pembahagian itu satu bahagian untukku”. (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis ini, para ulama’ tersebut menyimpulkan; ‘Bacaan al-Quran jika diqasadkan untuk manfaat orang hidup (seperti untuk menyembuhkan penyakit dalam hadis di atas), maka surah itu memberi manfaat kepadanya dan diakui oleh Nabi dengan kata baginda; ‘Bagaimana kamu tahu bahawa ia (yakni surah al-Fatihah) adalah jampi?’, maka tidak ada sebab untuk kita menafikan manfaatnya untuk orang mati, malah ia lebih aula (utama)’. (Lihat; Al-Fiqhul-Islami wa Adillatuhu, Syeikh Wahbah az-Zuhaili, jil. 2, hlm. 552).

Selain itu dikiaskan juga masalah ini kepada doa, istighfar, dan sedekah tadi yang disepakati oleh sekelian ulamak bahawa ia akan sampai kepada si mati dan memberi faedah untuknya. Jika doa, istighfar dan sedekah akan sampai kepada si mati maka tidak mustahil bahawa bacaan al-Quran, zikir dan tahlil juga akan sampai dan memberi manfaat kepadanya lebih-lebih lagi jika amalan-amalan tersebut disusuli dengan doa selepasnya. Ini sebagaimana yang disarankan oleh Imam Ibnu as-Sholah; “Hendaklah bacaan al-Quran atau zikir itu diakhiri dengan ucapan:

اَللَّهُمَّ أَوْصِلْ ثَوَابَ مَا قَرَأْنَاهُ لِفُلاَنٍ

“Ya Allah! Sampaikanlah pahala apa yang telah kami bacanya kepada si fulan…”.

Di mana dengan ucapan tersebut, kita menjadikannya sebagai doa untuk si mati dan telah dinyatakan tadi bahawa doa orang hidup bermanfaat untuk si mati. Hal ini telah dipersetujui oleh sekelian ulama’.Selain itu bacaan al-Quran dan zikir yang dilakukan untuk si mati dapat juga kita anggap sebagai tawassul dari orang hidup kepada Allah untuk mendoakan kesejahteraan si mati di alam kuburnya.

Terdapat nas dari al-Quran dan juga as-Sunnah membenarkan kita bertawassul dengan amal-amal soleh kita untuk memohon agar doa dan permohonan kita di makbulkan Allah.Dalam soheh Imam al-Bukhari dan Muslim terdapat hadis di mana Rasulullah s.a.w. menceritakan kisah tiga orang pemuda yang terperangkap di dalam sebuah gua dan baginda tidak membantah perlakuan mereka yang berdoa dengan bertawassulkan amalan soleh sehinggalah Allah memakbulkan doa mereka dan menyelamatkan mereka dari kecelakaan. (Lihat hadis ini dalam Riyadhus-Salihin, bab al-Ikhlas).

Pandangan kedua: Padangan dari golongan awal (mutaqaddimin) dari ulamak-ulamak mazhab Maliki dan Syafi’ie. Mereka berpandangan; bacaan al-Quran dan zikir (serta semua ibadah-ibadah badaniyyah yang lain seperti sembahyang) tidak akan sampai kepada si mati. Pahalanya hanya untuk orang yang melakukannya sahaja, tidak akan sampai kepada si mati. Dalil mereka ialah firman Allah:“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya”. (an-Najm: 38)

Namun dijawab oleh ulamak-ulamak yang berpandangan pertama tadi; ayat di atas adalah umum dan keumumannya telah ditakhsiskan oleh hadis-hadis sahih yang menyebutkan tentang doa, istighfar dan sebagainya tadi yang sampai kepada si mati sekalipun bukan datang dari amalan atau usaha darinya. Ada ulamak berpendapat; ayat tersebut ditujukan untuk orang kafir iaitu balasan siksa terhadap mereka tidak lain adalah akibat dari usaha dan perbuatan mereka di dunia.

(Lihat; At-Tajul-Jami’ Lil-Ushul Fi Ahadis ar-Rasul, Syeikh Manshur ‘Ali Nashif, jil. 1, hlm. 384, Subulus-Salam, Kitab al-Janaiz dan kitab al-Hajj)Wallahu A’lam.Rujukan; 1. At-Tajul-Jami’ Lil Ushul Fi Ahadis ar-Rasul, Syeikh Mansur Ali Nasif, Dar al-Fikr, Beirut-Lubnan (1992).2. Subulus-Salam, (Kitab al-Janaiz dan kitab al-Hajj), Dar al-Furqan, Jordan.3. AL-Fiqh Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah az-Zuhaili, Dar al-Fikr, Damsyiq-Syria (1985).

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

Monday, February 2, 2009

SULTAN PERAK PERKENAN DIADAKAN PILIHANRAYA KECIL

February 2, 2009,IPOH : Pilihanraya kecil Dun Behrang dan Dun Changkat Jering memang pasti akan diadakan walaupun dua bekas adun kawasan itu membuat injuksi di mahkamah esok. Itu sekadar usaha dua bekas adun dan bekas exco yang kecewa.

Segala-galanya telah terserlah. Yang tersirat telahpun tersurat. Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang menerima mengadap Menteri Besar Datuk Seri Ir Haji Mohamad Nizar Jamaludin hari ini (2 Feb) telah memperkenankan diadakan pilihan raya kecil.Segala-galanya bermula dengan penyertaan Adun Bota Dato Nasharudin Hashim ke dalam PKR. Sepatutnya ia lebih dilihat dalam perpektif yang meluas dan positif oleh kesemua anggota dewan undangan negeri Pakatan Rakyat tetapi rupanya mencetuskan polemik politik yang lebih mengusarkan ekoran sikap kurang bijak dua ADUN yang sememangnya bermasalah kredibiliti itu.Itulah turning point dua bekas Adun ini daripada PKR/Pakatan Rakyat. Mereka mempermain-mainkan kepercayaan DSAI dan Menteri Besar DS Ir Haji Mahamad Nizar Jamaludin. Empat hari menyorok dan enggan menjawab panggilan telefon. Nizar mencabar mereka mengumumkan jika mahu keluar PKR/Pakatan Rakyat sila berbuat demikian.

Rupanya ikan mudah termakan umpan. Apabila diisytiharkan bahawa Adun Behrang Jamaludin Mohd Radzi (exco pertanian) dan Adun Cangkat Jering Kapt (B) Osman Jailu (Exco Pelancongan) menyertai Umno/Barisan Nasional, maka ia secara automatis mengesahkan bahawa mereka telah melompat parti.Sesungguhnya Jamaludin yang juga Timbalan Pengerusi PKR negeri Perak kurang berhemah daripada segi tindakannya, manakala Osman adalah pak turut kepada Jamaludin, kerana sememangnya diketahui umum bahawa mereka berdua seakan belangkas, jarang kali berpisah walau ke mana jua.Osman sejak terjebak dengan kes rasuah yang akan dibacarakan pada 10hb Feb 2009 ini bersama-sama Jamaludin juga berada dalam alam trauma. Sejak ditahan BPR, Osman secara jelas tidak pernah pulih daripada trauma. Barangkali turun kawasan sendiri.

Pelbagai andaian dibuat mengapa Jamal dan Osman meninggalkan PKR dan menyertai Umno.Salah satu telahan ialah kemasukan Nasharudin dilihat mencabar kedudukan dua bekas yang berhormat ini. Dua bekas exco ini ternyata gagal menjalankan tugas-tugas exco dengan sempurna, malahan ada portfolio yang belum lagi mereka laksanakan.Jamaludin dalam kebanyakan hal sentiasa menyalahkan keputusan Menteri Besar Dato Seri Mohamad Nizar Jamaludin kononnya lebih memihak pada DAP. Wal hal mengikut sumber Mesyuarat Kerajaan Negeri, Jamaludin dan Osman kurang bersuara dan memberi cadangan dalam MMK.

Sesungguhnya beberapa pegawai kerajaan khususnya pertanian dan perikanan sering menyuarakan bahawa dalam apa jua mesyuarat yang dipengerusi Jamaludin, bekas yang berhormat itu lebih banyak diam kecuali menyokong sahaja keputusan para pegawai tanpa member sebarang pandangan. Pun begitu jugalah dengan Osman, lebih teruk daripada Jamaludin.Dengan terkeluarnya Jamaludin dan Osman daripada PKR, ia umpama terlepaslah satu bebanan yang tertanggung dalam PKR dan Pakatan Rakyat. Ia lebih banyak merosakkan daripada membina. Oleh kerana itulah, pada peringkat awalnya, Menteri Besar lebih banyak mendiamkan diri untuk melihat gelagat Jamaludin dan Osman yang kurang bijak mengatur strategi.Kini Jamaludin dan Osman kehilangan segala-galanya dalam politik. Karier politiknya terus berkubur. Pengundi di kawasan mereka masing-masing juga sudah lama mencemuhi mereka. Kemana mereka akan membawa diri kerana pastinya tidak tertanggung rasa malu.

Selepas tidak menjawab semua panggilan telefon Nizar dan DSAI yang bimbang akan kedudukan mereka berdua (sandiwara Jamaludin dan Osman) tiba-tiba diumumkan menyertai Umno. Memang itu mengesahkan mereka mencabar akuijanji sendiri jika keluar parti, maka akan mengosongkan kerusi dun.Bagaimanapun, apabila speaker mengumumkan mereka berdua mengosongkan kerusi dan pilihanraya kecil wajar diadakan, sandiwara kedua-duanya berubah lagi.Mungkin terlupa atau tersentak. Jamal dan Osman memanggil sidang akhbar di KLIA hari ini (2 Feb) tetapi kemudian hanya wakilnya yang hadir. Wakil itu mengumumkan mereka Jamaludin dan Osman tidak keluar PKR dan tidak meletak jawatan DUN.
Jerat telah memakan diri.

Esok (3 Feb), peguam mereka akan memohon injuksi agar mahkamah menidakkan tindakan speaker dewan undangan negeri Perak yang mengisytiharkan kerusi mereka berdua kosong. Yang pastinya, PKR tak terima dan Umno pun tak mahu terima mereka lagi. Aduhai sekelip mata segalanya hilang begitu sahaja.Esok(hari ini) juga Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia akan membuat keputusan dan sidang akhbar mengenai dua kerusi tersebut. Pada asasnya surat akujanji dua bekas yang berhormat itu memang boleh diguna pakai, dan SPR mesti mengambil tindakan untuk menetapkan tarikh pilihan raya, manakala injuksi itu akan diterima mahkamah dan diproses seperti biasa.

Aduhai bertambahlah kes mahkamah untuk Jamaludin dan Osman. Tengoklah nanti apa yang berlaku di mahkamah bagi perbicaraan mereka menghadapi rasuah, kerana yang pastinya Pakatan Rakyat tidak akan ambil peduli lagi, maka Umno kenalah menyediakan peguam mereka untuk membantu Jamaludin dan Osman yang selama ini Umno hina sebagai yang berhormat yang rasuah.Hari ini Jamaludin dan Osman menafikan menyertai Umno. Sebelum diumumkan menyertai Umno, mereka berdua mengeluarkan semua barangan di pejabat masing-masing dan menyerahkan kunci kereta rasmi exco. Apa cerita yob?

Sumber : Perakdaily

Sunday, February 1, 2009

TAHNIAH ERDOGAN

PAS Taman Bandar Baru mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada Presiden Turki Mr Erdogan atas keberanian dan sifat tegasnya bila berhadapan dengan musuh Allah Presiden Yahudi Shimon Peres semasa persidangan Forum Ekonomi Dunia di Davos Swizerland.

Setakat yang diketahui sehingga hari kini, ini adalah kenyataan yang paling berani dan tegas pernah dikeluarkan oleh seorang pemimpin Negara Umat Islam selain daripada Presiden Iran.Keberanian Presiden Erdogan mengherdik Shimon Peres menyebabkan Presiden Yahudi itu merah muka kerana terlalu malu.

Perdana Menteri Malaysia yang pernah menjadi Pengerusi Negara Islam OIC setakat ini langsung tidak berani mengeluarkan kenyataan keras terhadap Yahudi laknatullah.Patutlah rakyat semakin meluat dengan BN kerana pemimpinnya jahil dan tidak peka terhadap masalah umat Islam sejagat.Sepatutnya sebagai seorang Islam ..Cucu Ulama pulak tu..PM mesti mengambil tahu masalah umat Islam.Ini kerana seperti sabda Rasul..Barangsiapa yang tidak mahu mengambil tahu masalah umat Islam, maka dia bukan Umat Islam!

Fikir-fikirkanlah!


DUA ADUN PKR PERAK LETAK JAWATAN

Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V Sivakumar berkata beliau telah menerima surat peletakan jawatan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Jailu.

Katanya, beliau menerima surat peletakan jawatan mereka melalui faks pada kira-kira jam 5.45 petang di kediamannya.Jamaluddin dan Osman juga merupakan ahli exco kerajaan negeri Perak."Mereka telah meletak jawatan sebagai Adun, berkuatkuasa serta-merta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan itu, Sivakumar mengisytiharkan kerusi DUN Behrang dan Changkat Jering telah kosong dan dua pilihanraya kecil akan diadakan tidak lama lagi.Menurutnya, beliau akan memaklumkan mengenai kekosongan tersebut kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) esok/Pilihanraya kecil bagi kedua-dua kerusi tersebut mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.Kedua-dua Adun PKR itu telah hilang sejak lima hari lalu, dan mencetuskan spekulasi bahawa mereka telah melompat menyertai Barisan Nasional.

Dicatat oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM